Dia buka bonet dan keluarkan penanda reflektor segi tiga, tertimbun di bawah sepasang but Lotto, peti besi simpanan perkakas alat ganti yang sudah berkarat, dua botol minyak enjin separuh penuh dan tiga naskhah akhbar lama yang sudah menguning. Bau kepam mengewap menusuk hidung.
Bunyi hon bersahut-sahutan dari sederet kenderaan yang berbaris panjang. Ali tebalkan muka melangkah 30 tapak ke belakang, ditegakkan penanda reflektor sebelum masuk semula ke dalam perut kereta. Dikeluarkan BlackBerry, tangan ligat mendail. Nama Ghani berkelip di muka skrin, tapi baru dua kali nada dering berbunyi, talian putus. Notifikasi SOS terpacul di penjuru atas kanan skrin, dia menyeranah.
Dia teringatkan Nokia 3210, telefon bimbit pertama tanpa antena di luar yang mencetuskan fenomena dunia lebih sedekad lalu. Berbanding telefon pintar hari ini, 3210 tidaklah sepintar mana kerana mahu hantar SMS pun tidak boleh lebih 160 perkataan. Tetapi sungguh ketika itu tidak pernah sesekali dia memaki hamun telefon bimbit disebabkan masalah bateri. Kalau ada pun sebab kredit habis dan tiada simpanan kad prabayar.
Entah apa pereka telefon buat sekarang. Pandai bukan main mereka cipta telefon berpintar-pintar. Tetapi sayang, mahu cipta bateri tahan lama pun tidak mampu. Getusnya.
Masuk kali ini sudah lima kali keretanya terkandas tiba-tiba ketika memandu. Jadi, minggu depan dia akan buat aduan kali kelima pasal masalah hatchback dua pintu yang baru dibelinya tiga bulan lalu.
Kali pertama dihantar ke pusat servis, dia dimaklumkan tentang masalah kotak gear. Oh, sudah banyak kali orang buat aduan, masalah biasa saja, kata abang mekanik tanpa rasa bersalah dengan wajah memancar cahaya ketenangan. Seolah-olah dia sudah mendengar masalah itu seratus kali setiap hari sejak pertama kali bekerja.
Kereta masih dalam waranti dan dia tidak perlu bayar apa-apa. Cuma rasa menyampah kerana perlu buat temu janji, curi masa keluar pejabat dan bertapa lama di bilik menunggu. Dia rasa macam mahu koyakkan saja poster 'Kereta Anda Siap Satu Jam' di pintu masuk sebab dia biasanya perlu tunggu hingga tiga jam.
Belum genap dua minggu keluar bengkel, lampu gear menyala. Enjin tersengguk dan mati selepas melepasi pondok tol lebuh raya EPN. Mujur dapat dihidupkan semula selepas 15 minit berteleku dalam kereta.
Selang sebulan ketika asyik melayan selekoh dalam terowong menghala ke pusat beli-belah Moonway, enjin keretanya mati lagi. Mengamuk pun tiada guna. Nasib baik ada Ghani, rakan sepejabatnya yang berpipi tembam dan berambut cendawan seperti aktor kungfu Hong Kong, Sammo Hung.
"Padan muka, siapa suruh beli kereta lokal."
Ya, dia dapat mendengar ejekan itu, walhal Ghani cuma tersengih saja. Pipi tembam Ghani nampak macam beg pasir dan dia terbayangkan detik Muhammad Ali menyauk rusuk Joe Frazier dalam pertarungan Thrilla in Manila.
Sekarang dia betul-betul tidak tahu apa patut dilakukan. Sepintar mana pun telefon, tapi apabila kehabisan bateri tidak ubah seperti memiliki sepucuk raifal tanpa peluru. Langsung tidak berguna.
Dia memicing mata, melihat seberang jalan kalau ada telefon awam. Memang ada, pondok telefon syarikat gergasi komunikasi Malaysia, TM. Dia berlari-lari anak melintas jalan, masuk ke dalam pondok berbentuk kapsul biru jingga itu. Baru saja angkat gagang, sekali lagi dia menyeranah sebab tidak ingat nombor telefon Ghani.
No comments:
Post a Comment