"Awak jangan nak bagi alasan. Berapa banyak kereta awak rosak ni?"
"Alasan apa? Memang betul kereta rosak pun"
"Asyik rosak saja. Jual sajalah kereta tu."
"Ish.. Baru tiga bulan beli takkan nak jual?"
"Habis tu dah beli tapi asyik rosak saja. Saya dah cakapkan. Jangan beli kereta lokal, banyak masalah. Tak mampu kereta Kontinental atau Jepun, beli saja Proton."
"Ini saja yang saya mampu nak buat macam mana?"
"Awak saja tergila-gila dengan kereta lokal tak ada kualiti tu. Sekarang zaman ekonomi, kita tak ada masa nak sembang pasal patriotik membuta tuli."
"Betul, pasal ekonomilah saya beli kereta lokal, faham!"
"Baik bakar saja kereta awak tu.. Malas cakap dengan orang gila.." Telefon mati. Ali tengok Ghani tersengih-sengih di sebelah. Darahnya menyirap sampai ke hujung kepala.
"Kau jangan perli apa-apa. Aku tengah panas hati ni," mata Ali tidak beralih dari memandang dua mekanik sedang membedah kubikel enjin keretanya. Ghani yang baru saja masuk ke ruang menunggu ikut serius. Mereka berdua berjeda lama.
"Rileks, sekarang apa kata tinggal dulu kereta kau. Kita pekena char kuetiau dulu," Ghani cuba redakan kekusutan. Keningnya diangkat tinggi dua tiga kali. Ali buat tidak layan.
"Ok, fine." Ghani buka langkah, menyeberang jalan dan mencari meja kosong sebelum memanggil pelayan untuk buat pesanan. Dari jauh dia nampak kelibat Ali melintas jalan dengan muka berkerut.
"Kenapa emosional tak tentu pasal ni? Baru tiga kali kereta kondem sudah angin macam apa." Ghani sedut Nescafe ais. Kiub ais dikacau dengan penyedut minuman.
"Lima kali ok!" Ali tinggikan suara.
"Samalah.. Tiga ke, lima ke, sepuluh ke? Sekarang ni kau kena rileks."
Ali garu kepala dan tepuk pipi sambil tarik nafas dalam-dalam. Hembus. "Aku rasa macam nak bakar kereta tu." Gerutunya.
"Itu aku setuju. Bila?" Ghani sengaja tambah minyak, provokasi. Dia memang sudah jangka reaksi rakan sepejabatnya itu. Dulu pun Ghani pernah berlawak suruh dia buat aksi sama, meniru apa dilakukan seorang lelaki dari Shanghai yang membakar kereta Hondanya di hadapan pusat pengedar syarikat Jepun itu.
Bezanya, tindakan gila lelaki Cina itu tercetus akibat sentimen anti-Jepun berikutan pertikaian perebutan Pulau Diaoyu antara Beijing dan Tokyo. Ada unsur nasionalis di situ.
Sebaliknya, aksinya pula, jika benar-benar dilakukan, dia pasti dicop anti-nasionalis, pengkhianat dan orang gila ganda dua. Ceritanya akan jadi bahan utama di media tempatan dan antarabangsa. Menteri akan bersidang di Parlimen dan sebulat suara mengutuk aksi radikal tersebut. Tidak mustahil juga dia jadi pujaan komuniti Internet, diangkat sebagai hero automotif tempatan dengan wajahnya dicetak di kemeja-T dan dijadikan gambar profil dalam Facebook, manakala kisahnya pula dinukilkan dalam Wikipedia.
"Hoi, termenung sampai ke mana?" Ghani tendang kaki. Ali tersengih sumbing.
No comments:
Post a Comment