"Revolusi bukan setakat politik dan sosial saja. Di negara plastik serba serbi ini, industri automotif juga perlukan revolusi. Kita tidak perlu bina loji nuklear untuk jadi negara bermaruah. Cukup kau cipta sebuah kereta sempurna yang tidak cekik darah." Kata Ghani bergema. Terngiang-ngiang.
Tiba-tiba Ali teringatkan insiden dia dan Rizlin bertekak pada hari sama dia menghantar keretanya ke pusat servis akibat rosak kali kelima. Hari yang penuh huru-hara sebab dia terpaksa batalkan niat mahu bawa Rizlin melihat lukisan grafiti Kev Munday di Galeria yang menjadi pertama kali melakukan pameran solonya di Asia Tenggara.
Dia ambil telefon dan mula menyusun aksara, mahu menjernihkan sengketa.
"Marah lagikah?" Hantar.
Diam. Mesej tidak berbalas.
Dia mundar mandir dalam bilik sambil menggenggam erat telefon bimbit. Dia renung poster Volkswagen Golf GTI yang dibingkai cantik menjadi hiasan dinding meja, bersepah dengan timbunan buku dan brosur pasal macam-macam kereta.
Lampu jingga berkelip-kelip di bucu komputer bimbit menandakan sudah lama tetikus tidak terusik. Di sebelah ada gelas kosong berbekas sisa minuman coklat semalam yang sudah mengeras. Dia menyapu debu atas kotak kaca Porsche 911 GT3 buatan syarikat miniatur terkenal Jerman, Minichamps.
Nombor Rizlin didail. Diam. Diam. Diam. Dia cuba bertenang, tetapi sakit hati semakin menjadi-jadi.
Ceritanya begini, hubungannya dengan Rizlin tidak berapa lancar sejak dia ambil keputusan beli Kenchana G2 tiga bulan lepas. Ada saja tidak kena. Entah apa malapetaka, dua daripada lima insiden keretanya rosak berlaku ketika dia bersama gadis genit itu.
Memanglah sebelum ini Rizlin pernah larang dia supaya tidak beli kereta nasional. Cuma dia yang degil. Bukan dia tak mampu beli Vios Dugong dan City Lego macam kawannya yang lain. Tapi untuk apa? Untuk apa dia berhutang hingga sembilan tahun hanya kerana sebuah kereta import yang prestasinya lebih kurang saja dengan keretanya sekarang.
Alang-alang mahu berkereta import biarlah dia beli hot hatch macam Golf atau Renault Clio. Baru puas hati.
No comments:
Post a Comment